Friday 13 May 2016

BAYAN LINNAS SIRI KE-59: VAKSIN: SUDUT PANDANG DARI NERACA FIQH & MAQASID SYARIAH


Mukadimah
Kebelakangan ini begitu banyak sekali pendapat mengenai isu vaksin yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Jika kita melihat di laman-laman sosial seperti laman web, blog, facebook, twitter, dan seumpamanya kita akan mendapati bahawa sebahagian masyarakat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu golongan yang pro kepada penggunaan vaksin dan kumpulan yang sebaliknya. Justeru, dalam Bayan Linnas siri kali ini pihak kami akan cuba memberikan sedikit keterangan umum berkenaan vaksin dari sudut pandang agama Islam.

Pengenalan Asas Berkenaan Vaksin
Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan. Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.

Bahan Kandungan Yang Terdapat Di Dalam Vaksin
Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan. Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal (atau thimerosal). Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya. Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin. Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal. Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil. Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan. Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM.

Hukum Vaksin Kembali Kepada Intipati Kandungan Yang Terdapat Di Dalamnya
Di dalam hal ini, terdapat beberapa bahagian yang telah disebutkan oleh para ulama:
Pertama: Vaksin yang mengandungi kandungan yang harus untuk digunakan serta mempunyai kesan yang bermanfaat.
Tidak syak lagi bahawa kategori jenis ini adalah harus untuk digunakan. Bahkan ia merupakan di antara nikmat Allah yang dikurniakan kepada makhluk-Nya. Pencapaian perubatan (medical achievement) seumpama ini telah memberi sumbangan yang besar dalam mengurangkan pelbagai wabak yang tersebar pada hari ini.

Kedua: Vaksin yang mengandungi isi kandungan yang harus untuk digunakan. Akan tetapi ia boleh menyebabkan mudharat yang lebih banyak kepada tubuh badan berbanding manfaatnya. Ataupun ia tidak bermanfaat pada asalnya.
Vaksin seumpama ini tidak dinafikan lagi bahawa tidak boleh untuk digunakan kerana kita dilarang untuk memudharatkan diri kita dengan makanan, minuman, ubat-ubatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Vaksin yang mengandungi bahan yang diharamkan ataupun ia najis pada asalnya akan tetapi ia telah dirawat dengan bahan kimia ataupun ia telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarnya dari namanya kepada ciri bahan yang diharuskan penggunaannya. Inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat.
Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya. Ini kerana proses transformasi yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya telah mengubah hukumnya lalu boleh untuk digunakan.


Pendapat Badan Berautoriti Agama Dan Para Ulama Berkenaan Vaksin
Kami bahagikan pendapat-pendapat ini kepada dua bahagian:

Pertama: Badan Berautoriti Agama
1- Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
Vaksin untuk menghalang kecacatan anggota badan pada diri kanak-kanak adalah satu jenis dari rawatan pencegahan dan ia merupakan suatu yang dituntut dari segi syarak. Rujuk www.dar-alifta.org
2-  Union Of African Muslim Sholars
Di dalam sebuah artikel yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Afrika, mereka membuat suatu kenyataan seperti berikut: Adalah vaksin itu secara umumnya, dan juga vaksin kepada anak-anak khususnya, untuk memelihara mereka daripada penyakit-penyakit merupakan suatu kewajipan dalam agama bahkan ia suatu keperluan insani. Rujuk africanulama.org
3-  Majma’ al-Feqh al-Islami
Majma’ Fiqh Islami telahpun membuat satu deklarasi berkenaan isu vaksin yang bertajuk“Penjelasan Untuk Menggalakkan Vaksinasi Bagi Menghalang Kecacatan Anggota Pada Kanak-kanak”. Dalam kenyataan panjang berserta tujuh poin penting, pihak Majmak telahpun menyatakan akan keharusan vaksinasi terhadap kanak-kanak bagi mengelakkan kecacatan pada tubuh badan mereka. Sila lihat http://www.iifa-aifi.org/2647.html

4- Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Penggunaan Vaksin Menactra (sejenis vaksin bagi melindungi bayi berusia sembilan bulan) dengan sighah seperti berikut :

  • Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa pada prinsipnya ulama bersepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan yang dibenarkan oleh Islam untuk digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (toyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang mendatangkan mudharat kepada kesihatan badan dan akal manusia.
  • Muzakarah juga mendapati bahawa dalam proses penghasilan Vaksin Menactra ini, tiada sebarang komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui dari aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal.
  • Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Menactra adalah diharuskan.

Kedua: Tokoh Ulama Kontemporari
1- Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz
Ditanyakan kepada Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah tentang hukum berubat sebelum berlakunya sebarang penyakit seperti vaksin. Maka jawab al-Syeikh:
Tidak mengapa untuk melakukan rawatan apabila ditakuti berlakunya penyakit disebabkan terdapatnya wabak atau faktor-faktor lain yang ditakuti berlakunya penyakit disebabkannya. Maka tidak ada masalah untuk memberikan ubat atau rawatan bagi menghalang sesuatu bala yang ditakuti berlaku. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
 مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ
Maksudnya: Sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudharatan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir.
Riwayat Muslim 2047
Hadis ini daripada bab menghalangnya bala bencana sebelum ia berlaku. Maka demikianlah apabila ditakuti berlakunya sesuatu penyakit lalu diberikan vaksin untuk menghalang wabak yang berlaku di dalam sebuah negara ataupun di mana sahaja maka tiada sebarang masalah pada hal tersebut. RujukFatawa Ibn Baaz (6/21).

2- Al-Syeikh Dr. Ali Jumaah
Dr. Ali Jumaah ditanyakan berkenaan hukum melakukan vaksin dengan tujuan menghalang penyakit berlaku kepada tubuh badan kanak-kanak. Adakah ia dibenarkan ataupun tidak ? Maka beliau menjawab:
Vaksin untuk menghalang sebarang penyakit kepada kanak-kanak adalah suatu jenis dari rawatan yang bersifat perlindungan dan ia merupakan sesuatu yang dituntut dari segi syarak serta digesa oleh hukum-hakam syariah islamiah. Wajib ke atas kaum muslimin untuk saling membantu dalam usaha memberikan vaksin kepada anak-anak kecil mereka serta memelihara mereka dari penyakit-penyakit yang akan menimpa sekiranya ia tidak dilakukan ke atas mereka. Rujuk www.dar-alifta.org.

3- Syeikh Sa’ad bin Naasir al-Syathri
Kata beliau hafizahullah: Di antara permasalahan yang berkaitan dengan wabak-wabak penyakit adalah: Hukum mengambil suntikan vaksin yang diberikan dengan tujuan untuk mencegah daripada penyakit. Maka kami katakan:
Vaksin yang diberikan ini terdiri daripada:
Sesuatu yang telah dikenalpasti kesannya berdasarkan penyelidikan dan ujikaji bahawa ianya dapat mencegah penyakit dengan izin Allah. Perkara ini  baginya hukum-hakam rawatan bahkan ia satu jenis daripada jenis-jenis perubatan. Ini kerana ia termasuk di dalam sabda Rasulullah S.A.W: “Berubatlah kalian”. Maka ia juga turut mengambil hukum rawatan.
Kata beliau lagi: “Yang zahirnya, amalan ini (penggunaan vaksin) tidak ada masalah padanya. Bahkan ia termasuk di dalam amalan qurbah (ibadah). Ini kerana masuknya kemudaratan di dalam ini tidak menyebabkan mudharat yang lain bahkan ia membawa kemaslahatan untuk mencegah individu yang diberikan vaksin ini dari sebarang penyakit yang teruk. Inilah bukti bahawa ianya tidak dilarang”. RujukCeramah Bertajuk Hukum-Hakam Feqh Yang Berkaitan Dengan Wabak.

4- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah ditanyakan di dalam rancangan Fatawa Mubasyirah berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan tujuan mencegah dari penyakit antaranya anggota badan tidak berfungsi. Maka jawab beliau:
Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fardhu. Kerfadhuan yang bersifat agama bahkan ia suatu kewajipan yang bersifat islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya. Aku pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang solat tarawih bersama kami dan dia berjalan dengan menggunakan tongkat sedangkan dia Masha Allah masih sihat. Bila ditanya dia menjawab: Tanyalah kepada si ayah. Lalu kata si ayah: Kami abaikan memberi vaksin kepadanya semasa kecil lalu dia ditimpa dengan anggota badan yang tidak berfungsi. Rujuk link berikut  https://goo.gl/ji7L9x .

5- Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin
Syeikh Ibn al-Uthaimin rahimahullah pernah menyebutkan bahawa adakah suntikan vaksin untuk penyakit meningitis (keradangan pada selaput otak) dikira sebagai menafikan konsep tawakkal ? Ini disebabkan sebahagian orang ada yang berpendapat perbuatan tersebut haram kerana ia menafikan tawakkal. Lalu jawab Syeikh:
Sesungguhnya perbuatan ini (suntikan vaksin) termasuk daripada konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bersandar kepada Allah bersama-sama dengan mengambil sebab-sebab tertentu. Oleh kerana itulah ketua bagi golongan yang bertawakkal Muhammad S.A.W apabila pergi memerangi musuh baginda memakai perisai besi. Inilah perbuatan mencegah dari sebarang keburukan. Menggunakan suntikan vaksin ini termasuklah melakukan sebab-sebab bermanfaat yang Allah mengelakkan keburukan dengannya. Rujuk pautan yang berikut https://goo.gl/2iThC7 .

6- Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Negeri Kelantan
Kata beliau: Islam mengharuskan penggunaan vaksin walaupun ia mengandungi bahan terlarang jika tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik. Kata beliau lagi: Vaksin ini memang diharuskan oleh Islam kerana ia merupakan satu daripada al-Wiqoyah iaitu satu (kaedah) penjagaan (kesihatan) dalam Islam. Rujuk sumber Bernama.

Maqasid Syariah Dan Kaedah Feqh Dalam Isu Vaksin
Di antara maqasid yang sangat diberikan penekanan di dalam Islam ialah hifz al-nafs (penjagaan terhadap nyawa). Kita disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dengan usaha makan, minum, serta memberikan hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kejahatan padanya. Demikian Islam juga mengharamkan perbuatan menyebabkan nyawa berada di dalam kebinasaan.

Di antara kaedah yang boleh digunapakai bagi isu vaksin ini adalah:
Pertama: Dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.
Terdapat sebuah kaedah masyhur yang telah disebutkan oleh para ulama feqh iaitu:
الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات
Maksudnya: Keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.
Rujuk al-Asybaah wal-Nazhoir, Ibn Nujaim. Hlm. 85.
Contoh bagi kaedah ini: Jika seseorang berada dalam keadaan tiada makanan disekitarnya melainkan bangkai, maka dia dibenarkan untuk memakan makanan tersebut sekalipun bangkai itu pada asal hukumnya adalah haram. Ini bagi mengelakkan kematian dirinya disebabkan kelaparan.

Kedua: Keadaan dharurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur.
الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا
Maksudnya: Dharurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.
Contoh bagi kaedah di atas: Jika seseorang berada dalam keadaan tiada makanan disekitarnya melainkan bangkai, maka dia dibenarkan untuk memakan makanan tersebut sekalipun bangkai itu pada asal hukumnya adalah haram.
Maka timbul persoalan sama ada bangkai tersebut boleh dimakan keseluruhannya ataupun sekadar cukup untuk kelangsungan hidup ? Maka jawapannya adalah seperti yang dinyatakan di dalam kaedah iaitu makan dengan kadar untuk menghilangkan dharurat sahaja dan bukanlah lebih dari itu.
Apabila dikaitkan dengan isu vaksin, maka kita mengambil atau menggunakannya dengan kadar yang perlu sahaja untuk mengatasi dharurat sahaja.

Ketiga: Apabila bertembung dua mafsadah atau keburukan maka kita lakukan mafsadah yang lebih ringan kesannya. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang mashyur:
أَنَّ أَدْنَى المَفْسَدَتَين يُرتَكَب مِنْ أَجْلِ دَفْع أَعْلَاهُمَا إِذَا كَانَ لَابُدَّ مِنْ مُوَافَقَةِ إِحْدَاهُمَا
Maksudnya: Sesungguhnya mafsadah yang paling ringan di antara dua mafsadah itu dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan mafsadah yang lebih besar apabila tidak boleh untuk disepakati antara salah satunya.
Rujuk al-Asybah wal-Nazhoir, al-Subki (1/45).
Justeru, sekalipun terdapat kesan-kesan sampingan daripada suntikan vaksin seperti demam atau kesan-kesan lain dalam tempoh yang singkat maka kesemuanya ini dimaafkan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar jika seseorang tidak mendapatkan vaksin ini.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami meneliti dan menekuni isu vaksin serta cara penggunaannya untuk tubuh badan manusia, kami berpendapat bahawa hukumnya adalah harus. Ia sama ada untuk merawat penyakit ataupun yang bersifat pencegahan dari berlakunya penyakit. Ini selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama sebagaimana yang telah kami nyatakan. Justeru, kami lebih cenderung kepada keharusan penggunaan vaksin dan kami berpendapat hendaklah beberapa dhowabit (kriteria) berikut diraikan. Ini seperti:
  • Berlakunya keperluan yang mendesak.
  • Ianya telahpun ditestimonikan dapat memberikan kesan yang baik.
  • Elakkan bahan yang bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa.
  • Sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah telah terbukti.
  • Tiada kesan sampingan dan mudharat yang lebih besar berlaku kepada mereka yang disuntik dengan vaksin.
Jika kesemuanya ini dapat dipenuhi maka pengambilan vaksin akan menjadi satu keperluan kepada manusia atau orang ramai selaras dengan realiti kehidupan di zaman mutakhir ini.
Kami juga berpendapat bahawa:
الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ
Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Semoga usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan mutu dan kualiti kesihatan penduduk di Malaysia akan berjaya dengan cemerlang. Manakala salah faham berkaitan isu vaksin ini tidak lagi berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Akhir kalam, marilah kita sama-sama menginsafi diri kita dengan merujuk setiap sesuatu itu kepada ahlinya (pakar). Jika ianya berkaitan dengan soal kesihatan maka sudah tentulah yang paling berautoriti terhadapnya adalah Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar mereka. Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.


Akhukum Fillah.
S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
13 MEI 2016 BERSAMAAN 6 SYA’BAN 1437 H.

sumber asal: http://www.muftiwp.gov.my/utama/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/900-bayan-linnas-siri-ke-59-vaksin-sudut-pandang-dari-neraca-fiqh-maqasid-syariah

No comments:

Post a Comment