Pengenalan
Setiap budaya pasti
ada mitosnya yang tersendiri. Daripada anak kecil hingga ke golongan
tua, mitos adalah kisah lampau (urban legend) yang sering disampaikan
daripada satu generasi ke satu generasi. Ia juga dianggap sebagai satu
kepercayaan hakiki serta sentiasa dijadikan rujukan dan bahan cerita
tanpa perlu sebarang penjelasan mengenai kebenarannya.
Masalah
pendengaran juga ada mitosnya yang tersendiri. Umum mengetahui
pendengaran merupakan salah satu pancaindera kurniaan Tuhan. Hilangnya
fungsi pendengaran, walaupun sedikit pasti akan menggugat fungsi
kehidupan individu yang menghidapinya.
Masalah
pendengaran merupakan masalah yang global. World Health Organization
(WHO) dalam laporannya pada tahun 2004 menunjukkan lebih 275 juta
penduduk dunia mempunyai masalah pendengaran yang ketara, dengan 80%
daripadanya terdiri daripada penduduk dari negara berpendapatan rendah dan sederhana dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat saban tahun.
Walaupun
peratusan penduduk bermasalah pendengaran agak tinggi dikalangan
penduduk di negara-negara membangun, hanya segelintir (lebih kurang 3%)
daripada golongan bermasalah ini yang menggunakan alat bantu
pendengaran. Stigma tentang masalah pendengaran dan alat bantu
pendengaran disebut sebagai antara punca kurangnya penggunaan yang
berkesan. Diharapkan agar penulisan ini dapat merungkai sedikit sebanyak
mitos yang dikaitkan dengan stigma ini.
MITOS 1: Masalah pendengaran hanya terjadi pada generasi tua.
Fakta:
Masalah pendengaran sememangnya sering terjadi pada individu yang
berusia. Ia disebabkan oleh kemerosotan fungsi tubuh akibat usia atau
kesan sampingan daripada penyakit lain yang dihidapi. Kajian mendapati
masalah pendengaran boleh terjadi kepada semua golongan usia. Malah, ia
juga boleh berlaku pada kanak-kanak dan bayi yang baru dilahirkan.
Ia
dibuktikan dalam satu tinjauan masalah telinga dan pendengaran yang
dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2003-2004 yang
menunjukkan terdapat sejumlah kanak-kanak (bawah 18 tahun) yang dikesan
mempunyai masalah pendengaran walaupun jumlahnya tidak setinggi
kumpulan dewasa.
MITOS 2: Masalah pendengaran merupakan "penyakit" genetik/keturunan.
Fakta : Pernyataan di atas adalah benar, tetapi kurang tepat. American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) dalam laman webnya
menyatakan bahawa hanya 50% daripada punca masalah pendengaran
kongenital (sejak lahir) adalah disebabkan oleh faktor
genetik/keturunan. Pernyataan ini turut disokong oleh pelbagai kajian.
Jadi, apakah punca selainnya? Senarai di bawah adalah antara
faktor-faktor punca masalah pendengaran, iaitu:
Masalah pendengaran kongenital
- Ia dialami semasa bayi dalam kandungan atau semasa proses kelahiran. Antaranya: jangkitan toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus, sifilis atau jangkitan virus herpes simplex semasa mengandung.
- komplikasi akibat faktor rhesus dalam darah.
- kelahiran pramatang.
- ibu menghidap diabetes semasa mengandung.
- bayi kekurangan oksigen.
- Bayi mempunyai sindrom yang berkaitan dengan masalah pendengaran.
Ia dialami selepas tempoh kelahiran. Ia disebabkan oleh penyakit, kecederaan atau pun keadaan dan boleh berlaku bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Antara puncanya:
- Jangkitan telinga tengah (contohnya kesan daripada demam/ selsema/batuk).
- Ototoksiksiti (penggunaan ubat-ubatan tertentu yang boleh merosakan sistem pendengaran).
- Jangkitan pada selaput otak/meningitis.
- Demam campak.
- Cacar air.
- Beguk.
- Kecederaan/trauma pada kepala.
- Pendedahan pada bunyi kuat/bising yang melampau.
Dewasa
ini juga terdapat peningkatan masalah pendengaran di kalangan remaja
yang mana puncanya adalah daripada penggunaan alat audio contohnya ipod,
MP4 dan penggunaan sistem hi-fi yang kuat.
Bagi
menangani masalah ini, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha
antaranya kempen penjagaan pendengaran di media massa, media cetak dan
juga kempen bergerak.
![]() | ![]() |
Hospital Kuala Lumpur antara hospital yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan pendengaran bayi yang dibuat secara percuma. | Antara contoh bentuk alat bantu dengar yang terdapat di pasaran. |
![]() | ![]() |
Contoh ujian pendengaran yang dijalankan bagi menguji tahap pendengaran di kalangan kanak-kanak. | Kanak-kanak yang dipasangkan dengan alat bantu pendengaran. |
MITOS 3: Orang yang bermasalah pendengaran dianggap sebagai pekak.
FAKTA:
Mitos ini langsung tidak benar! Terdapat pelbagai tahap dalam masalah
pendengaran, bermula dari tahap ringan (mild), sederhana (moderate),
teruk (severe) hingga ke sangat teruk (profound). Individu dengan
masalah pendengaran pada tahap ringan kebiasaannya tidak menyedari akan
masalah tersebut memandangkan kesukaran yang dihadapi agak minimum.
Bagi
masalah pendengaran pada tahap sederhana ke sangat teruk, kesannya
lebih ketara. Pekak kebiasaannya dikatakan pada individu yang mempunyai
masalah pendengaran pada tahap sangat teruk atau pun tidak beri respon
langsung pada bunyi.
Masalah
pendengaran boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif kepada individu
yang menghidapinya. Bagi kanak-kanak, ia boleh mengganggu perkembangan
bahasa dan pertuturan mereka. Ia juga boleh mempengaruhi perkembangan
mental, sosial dan kendiri kanak-kanak terbabit.
Perhatian
perlu diberikan kepada anak-anak yang sudah berusia 18 bulan ke atas
dan tidak mempunyai pertuturan bermakna atau pun sukar memahami arahan
ringkas (tanpa disertakan gerak tangan/tunjuk).
Dialog
penyedap hati seperti ,"..biarlah,anak lelaki biasanya memang lambat
cakap" atau pun, "..budak-budak kalau jalan dulu, biasanya memang akan
lambat cakap.." mungkin benar dalam sesetengah situasi. Tapi, sampai
bila harus kita tunggu? Bagi ibu-bapa yang mempunyai keraguan, senarai
semak yang terdapat di Laman Web American Speech Language Hearing Association (ASHA) mungkin dapat membantu menilai pendengaran dan tahap pertuturan anak anda.
MITOS 4: Tiada apa yang boleh dilakukan sekiranya anda didiagnos dengan masalah pendengaran.
FAKTA:
TIDAK BENAR sama sekali! Banyak usaha dan kajian yang telah dilakukan
di seluruh dunia bagi "merawat" masalah pendengaran dan kaedah
rawatannya pula bergantung kepada jenis masalah pendengaran yang
dihidapi.
Bagi mereka yang telah
didiagnos dengan masalah pendengaran jenis konduktif, keutamaan
diberikan kepada rawatan secara perubatan oleh doktor atau pakar
telinga, hidung dan tekak (otorinolaringologi). Dalam sesetengah kes,
terdapat pesakit yang hanya mendapat manfaat yang terhad daripada
rawatan perubatan. Kebiasaannya mereka akan dirujuk kepada Audiologis
bagi tujuan penilaian dan rehabilitasi pendengaran.
Umumnya,
alat bantu pendengaran dicadangkan kepada individu yang mempunyai
masalah pendengaran kekal dan mendapat kurang manfaat daripada rawatan
perubatan. Individu dengan masalah pendengaran yang kekal kebiasaannya
akan kehilangan banyak perincian pada bunyi yang didengar. Sering kali
mereka akan mengadu bahawa bunyi (pertuturan contohnya) menjadi perlahan
dan tidak jelas, terutama apabila berada di tempat bising.
MITOS 5: Alat bantu pendengaran? Ia mahal, besar, bising dan memalukan!
FAKTA:
Alat bantu pendengaran boleh diibaratkan bagai sistem pembesar suara
mini (Public Address System). Secara asasnya ia terdiri daripada
mikrofon, amplifier dan pembesar suara. Melalui sistem ini, gelombang
bunyi akan diolah supaya menjadi lebih kuat bagi membantu pengguna untuk
mendengar bunyi dengan lebih jelas.
Alat
bantu pendengaran telah mengalami evolusi yang rancak sejak ia dicipta
dalam abad ke-17, daripada segi bentuk hingga ke teknologi pemprosesan
bunyi. Suatu ketika dahulu, alat bantu pendengaran berbentuk seperti
'walkman' atau cangkuk besar di belakang telinga. Ia kelihatan besar dan
tidak bergaya. Ia menguatkan hampir kesemua bunyi (termasuk bunyi
persekitaran yang tidak diperlukan), menggunakan teknologi analog serta
tidak selesa untuk dipakai.
Kini
ia boleh didapati dalam bentuk yang lebih kecil dan mungkin hampir tidak
kelihatan. Ia selesa untuk digunakan dan dengan dibantu teknologi
digital, pengalaman mendengar dengan alat bantu pendengaran kini menjadi
lebih baik. Walau bagaimanapun, sebelum menggunakannya, Audiologis
perlu membuat penilaian menyeluruh bagi memastikan spesifikasi alat
bantu pendengaran bersesuaian dengan tahap masalah pendengaran serta
merancang program rehabilitasi yang bersesuaian dengan keperluan dan
kehendak individu.
Alat bantu
pendengaran kebiasaannya diimport dari negara luar dan terdapat dalam
pelbagai jenama contohnya seperti Phonak, Oticon, Bernafon, Unitron,
Starkey, Widex, Hansaton dan Siemens. Teknologi digital pada alat bantu
pendengaran juga turut disokong dengan pelbagai kajian bagi memastikan
kualitinya terjamin. Pengguna kini turut dilindungi dengan jaminan
antara 1 hingga 3 tahun (bergantung kepada jenama/syarikat yang
menjualnya). Atas dasar ini juga, alat bantu pendengaran yang berada di
pasaran mempunyai harga yang agak mahal. Namun, para pengguna/pesakit
tidak perlu risau memandangkan terdapat pelbagai saluran dan agensi
kerajaan yang boleh memberikan bantuan untuk mendapatkan alat bantu
pendengaran.
Perlu diingatkan,
alat bantu pendengaran bukanlah penyelesaian mutlak kepada masalah
pendengaran. Bagi memaksimumkan manfaat yang diperolehi, pengguna
dinasihatkan menggunakannya dengan sekerap yang mungkin bagi tujuan
adaptasi. Pengguna juga perlu melakukan latihan mendengar dan
menggunakan strategi dalam berkomunikasi kerana alat bantu pendengaran
hanyalah satu teknologi yang secara asasnya berfungsi untuk menguatkan
bunyi sahaja.
Pelbagai kajian
telah membuktikan keberkesanan alat bantu pendengaran (amplifikasi)
dalam membantu pengguna untuk mendengar dengan lebih baik. Faedah
daripada amplifikasi mungkin tidak dapat dilihat dalam masa sehari,
tetapi dengan komitmen pengguna dan strategi rehabilitasi yang dirancang
bersama, kejayaan pasti boleh dicapai. Penilaian dan pemerhatian lanjut
turut dilakukan bagi memastikan pengguna mendapat amplifikasi yang
bersesuaian secara berterusan.
Bagi
memastikan anda mendapat alat bantu pendengaran yang bersesuaian,
pastikan anda telah menjalani ujian pendengaran dan mendapat khidmat
rundingan daripada Audiologis yang bertauliah. Anda boleh emel audiologisthkl@yahoo.com bagi mendapatkan senarai perkhidmatan audiologi yang berdekatan dengan anda.
Sumber: Portal myHealth
No comments:
Post a Comment