Thursday 26 November 2015

Bank Negara Malaysia Memperkenalkan Aplikasi Mudah Alih

Bank Negara Malaysia Memperkenalkan Aplikasi Mudah Alih untuk Memudahkan Pengguna Kewangan Membuat Keputusan Kewangan yang Lebih Bijak
Bank Negara Malaysia hari ini memperkenalkan tiga aplikasi mudah alih baharu bagi memudahkan pengguna kewangan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak. Aplikasi mudah alih ini ialah MyBNM, BNM MyLINK dan MyTabung.
Aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh Bank Negara Malaysia ini bertujuan untuk melengkapkan segmen penduduk yang lebih luas dengan maklumat, kemahiran dan alat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dan berhemat dengan memanfaatkan kemajuan  teknologi. Pengguna kewangan bukan sahaja boleh mendapatkan perkembangan dan maklumat  terkini hal-hal kewangan melalui penggunaan aplikasi mudah alih ini, tetapi mereka juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk merancang dan menguruskan kewangan serta menggunakan hak mereka sebagai pengguna kewangan.
Aplikasi mudah alih ini terdapat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, serta boleh dimuat turun secara percuma daripada Apple App Store dan Google Play Store.

MyBNM merupakan aplikasi mudah alih rasmi Bank Negara Malaysia yang membolehkan pengguna mengikuti perkembangan terkini berkaitan dengan laporan kewangan termasuk maklumat dan pengumuman, ucapan dan wawancara, siaran akhbar, amaran penipuan kewangan dan kadar pertukaran asing di hujung jari mereka. Ini akan memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini industri kewangan di Malaysia dan pada peringkat global, serta maklumat terkini dasar dan peraturan kewangan dan monetari Bank Negara Malaysia.


BNM MyLINK ialah aplikasi mudah alih setempat yang menyediakan saluran terus antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia. Aplikasi ini mengandungi direktori perbankan konvensional dan perbankan Islam, syarikat insurans dan pengendali takaful serta PKS lantas membolehkan pengguna untuk berhubung terus dengan penyedia perkhidmatan kewangan bagi mengemukakan pertanyaan, mendapatkan nasihat dan membuat aduan.


MyTabung ialah aplikasi untuk individu membuat belanjawan peribadi atau belanjawan isi rumah. Pengguna boleh mencatat pendapatan, simpanan dan perbelanjaan berulang pada masa itu juga menerusi paparan kedudukan kewangan dan corak perbelanjaan mereka. Pengguna juga boleh mendapatkan nasihat kewangan dan tip berbelanja untuk membantu mereka mengamalkan pengurusan kewangan berhemat sebagai satu cara hidup.

Bank Negara Malaysia
26 November 2015

No comments:

Post a Comment