Monday 10 August 2015

7 tip keluarga bahagia


sekadar hiasan.  sumber gambar: google
KEHADIRAN pasangan pendakwah dua sejoli, Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood di program Bicara Keluarga Bahagia di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), baru-baru ini memberi kepuasan kepada warga Balai Berita, Kuala Lumpur.
Di sebalik titipan dakwah yang memberi ilmu, hadirin tidak kering gusi dengan pantun dan celoteh manja pasangan suami isteri itu.
Program itu dianjurkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Badan Khairat NSTP.


Dalam membina keluarga bahagia, Siti Nor Bahyah memberi tujuh tip berdasarkan contoh keluarga Rasulullah SAW yang memberi keseimbangan dunia dan akhirat
“Asas pertama membina keluarga bahagia ialah keimanan serta ketakwaan kepada Allah.
“Dalam surah Ali-Imran ayat 133, Allah berfirman yang maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.”

“Hanya mereka yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah mampu melayari kehidupan berumah tangga yang bahagia,” katanya.

Dalam memilih pasangan hidup, katanya Rasulullah SAW memberi panduan iaitu pilih yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

“Jika kita pilih pasangan yang memiliki ciri-ciri ini, akan bahagia dunia dan akhirat,” katanya.

Asas kedua ialah kasih sayang yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w melalui kata-kata dan perbuatan.

“Suami boleh memanggil isteri dengan panggilan sayang atau intan kerana ia memberi suasana harmoni dalam rumah tangga.

“Selain memanggil pasangan dengan panggilan elok, kasih sayang juga perlu ditunjukkan menerusi kebiasaan memberi hadiah, sentuhan, khidmat serta meluangkan masa bersama,” kata Wan Akashah.

Katanya, untuk hidup seimbang, umat Islam perlu ada empat unsur iaitu fizikal (menjaga makan minum), emosi (n kasih sayang), rohani (ibadat kepada Allah) dan akal (ilmu).

Selain itu, pasangan suami isteri perlu menjaga pergaulan, amanah dan tanggungjawab, menyediakan rezeki halal, berdoa kepada Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Siti Nor Bahyah berkata, dalam pergaulan suami isteri, berbicara dengan penuh lemah lembut dengan mengikut cara Rasulullah s.a.w melayan isterinya, Khadijah.

“Ketika Khadijah ingin menghidangkan makanan kepada Rasulullah, Jibril memberitahu Baginda akan kedatangan Khadijah yang membawa makanan.

“Jibril meminta Baginda menyampaikan salam Jibril dan salam daripada Allah yang sudah membina istana untuk Khadijah di syurga.

“Jibril memberitahu Allah memberi penghormatan kepada dua perkara yang dilakukan Khadijah kepada Rasulullah SAW iaitu tutur katanya yang lembut dan layanan baik,” katanya.

Justeru, katanya suami isteri yang mahu balasan syurga, berkatalah dengan lemah lembut dan berikan layanan baik kepada pasangan.

Menurutnya, umat Islam juga perlu memberi perhatian kepada sumber rezeki kerana ia membantu keluarga mencapai kebahagiaan.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa makan yang dimakan akan menjadi darah daging.

“Makanan yang haram tempatnya di neraka sementara makanan daripada sumber halal serta suci membolehkan doa dimakbulkan.

“Begitu juga berbuat baik kepada ibu bapa kerana pahalanya amat besar,” kata Siti Nor Bahyah.


No comments:

Post a Comment